Mahalnya yuran dan kos pendidikan di Indonesia
GAJI pokok seorang pemandu peribadi di Jakarta adalah sekitar RM400 sebulan. Selepas dicampur elaun kerja lebih masa dan duit makan, keseluruhan gajinya adalah kira-kira RM700 sebulan.
Itulah rata-rata gaji yang diterima oleh golongan bawahan di Jakarta yang menjadi majoriti warga kota metropolitan tersebut.
Dengan gaji sebanyak itu, banyak keperluan asas yang tidak mampu dipenuhi oleh mereka, apatah lagi ketika harga barangan keperluan asas meningkat ekoran kenaikan harga minyak, tol dan tarif elektrik.
Lebih menyedihkan lagi, sistem pendidikan di Indonesia tidak mesra dengan golongan bawahan. Peraturan dan yuran yang dikenakan tidak seiring dengan pendapatan yang dibawa pulang oleh kebanyakan golongan berkenaan.
Kebanyakan sekolah di negara itu menetapkan hari persekolahan lima hari seminggu dan terdapat juga sekolah-sekolah swasta yang menetapkan enam hari seminggu.
Setiap hari, pelajar perlu memakai pakaian seragam yang khusus dan berbeza. Ini bermakna seorang pelajar perlu mempunyai lima atau enam pasang pakaian seragam yang berbeza untuk dipakai mengikut hari.
Bayangkan, jika pasangan yang mempunyai empat orang anak, sudah pasti jumlah pakaian yang perlu disediakan oleh ibu bapa adalah 20 atau 24 pasang kesemuanya.
Antara pakaian seragam itu adalah baju batik, seragam merah dan putih, seragam biru dan putih, seragam Pramuka atau Pengakap di Malaysia, pakaian sukan dan bagi sekolah agama Islam pula, ia mempunyai pakaian seragam yang hampir sama dengan baju Melayu di Malaysia yang dilengkapi dengan songkok.
Sistem persekolahan di Indonesia pula mengikut semester iaitu sepanjang tempoh enam bulan. Jika setiap semester ibu bapa mahu menukar pakaian seragam yang baru untuk anak-anak, mereka perlu membeli 20 atau 24 pasang pakaian seragam untuk keperluan empat orang anak.
Ini bermakna seorang anak memerlukan wang sebanyak kira-kira RM400 untuk pakaian seragam sahaja dan jika didarab dengan empat orang anak, ia menjadi RM1,600. Itu belum lagi kos menyediakan buku teks dan buku tulis yang harus dibeli sendiri oleh ibu bapa.
Bagi sekolah rendah dan menengah rendah, yuran pendaftaran dan bulanan tidak dikenakan kerana kerajaan Indonesia baru memperkenalkan pendidikan percuma untuk tempoh sembilan tahun.
Bagaimanapun, bagi sekolah menengah atas iaitu bermula tingkatan empat, sekolah mengenakan bayaran pendaftaran setiap enam bulan dan yuran bulanan termasuk sekolah milik kerajaan.
Yuran pendaftaran rata-rata adalah sekitar RM1,600 hingga RM2,000 dan yuran bulanan RM70 hingga RM100, bergantung kepada standard sekolah berkenaan. Jika sekolah berkenaan merupakan sekolah pilihan, yuran pendaftaran dan bulanan pastinya lebih tinggi.
Selain itu, pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke sekolah pilihan juga dikenakan syarat-syarat tambahan termasuk lulus ujian kesihatan dan bebas daripada penyalahgunaan dadah. Walaupun pemeriksaan perubatan itu dilakukan di hospital kerajaan, ia tetap dikenakan bayaran iaitu kira-kira RM100.
Selepas mengeluarkan perbelanjaan yang begitu besar dan lulus sekolah menengah atas, pekerjaan yang tersedia adalah sekadar pembantu jualan sahaja atau setaraf dengannya. Jika mahu kerja yang lebih baik, mereka perlu melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Oleh kerana peraturan yang tidak menyebelahi golongan bawahan itu, ramai anak-anak di Indonesia terkandas separuh jalan kerana ketidakmampuan kewangan keluarga. Ia sekali gus menyebabkan mereka terus terperangkap di dalam lingkaran ganas kemiskinan.
Tujuan penulis memaparkan betapa tingginya perbelanjaan persekolahan di Indonesia tidak termasuk di sekolah antarabangsa yang semuanya dibayar dalam Dolar Amerika Syarikat adalah supaya rakyat Malaysia bersyukur kerana dapat menikmati pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah, manakala yuran pengajian yang rendah dikenakan di peringkat universiti.
Kerajaan juga tampil membantu dengan menyediakan tabung pinjaman pendidikan atau dalam bentuk biasiswa.
Melihat situasi di Indonesia, penulis teringat pada suatu ketika bagaimana ibu bapa bising dan berang apabila kerajaan mahu mengenakan yuran khas sebanyak RM4. Nampak sangat, betapa kita di Malaysia tidak mensyukuri nikmat yang dimiliki kini.
0 comments:
Post a Comment